PETALING JAYA – Pempengaruh dan YouTuber terkenal, Syahmi Sazli mempersoal semula reaksi netizen yang ‘menyerang’ isterinya selepas wanita itu berkongsi keluhan mengenai masalah air yang tidak berkesudahan di Kelantan.
Syahmi, 28, melalui sebuah video di Instagramnya berkata, sekiranya tindakan mereka menyentuh isu tersebut dianggap satu kesalahan, maka tidak akan berlaku perubahan di kawasan tersebut.
“Kalau sentuh masalah ini (air) jadi satu kesalahan, tak ada perubahanlah. Jadi bagi Mi (Syahmi), masalah ini (air) memang ada walaupun segelintir. Takkanlah nak sentuh masalah itu pun menjadi satu kesalahan.
“Kalau ikutkan Mi, Mi tak kisah pun siapa-siapa nak tadbir atau memerintah, tapi asalkan benda (keperluan) asas untuk rakyat wajib dipenuhi dan diselesaikan,” katanya.
Bagaimanapun Syahmi menegaskan tindakan isterinya, Anissa Faizul bersuara bukanlah bermaksud untuk meminta kerajaan negeri ditukar.
Terdahulu, Anissa menerima banyak kecaman dan kritikan daripada netizen selepas meluahkan mengenai masalah air tersebut di Facebooknya. – KOSMO! ONLINE.