fbpx

Rakyat jangan hanyut dengan isu cetus perpecahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin Shah (tengah) berkenan menyempurnakan gimik pelancaran Buku Siri Titah ll Sultan Nazrin Shah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC). Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah menasihati rakyat agar tidak dihanyutkan oleh isu-isu yang boleh mencetuskan perpecahan.

Baginda bertitah, perkata itu perlu selepas hampir 66 tahun negara mencapai kemerdekaan.

“Negara memerlukan pemimpin yang mengamalkan sifat inklusif, pemimpin yang memiliki azam dan kebijaksanaan berupaya menganyam elemen yang pelbagai menjadi hamparan yang indah dan kukuh bertaut.

“Semoga harapan yang dizahirkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah pada 5 Ogos 1957, agar negara ini dilimpahi kebahagiaan yang berkekalan akan direalisasikan oleh setiap warga Malaysia,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian dalam Majlis pelancaran buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sultan Perak menghargai usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan kumpulan titah yang telah Baginda zahirkan.

“Usaha DBP ini, insya-Allah akan membolehkan pemikiran dan pandangan Beta sampai kepada khalayak yang lebih luas.

“Seorang Raja Pemerintah mempunyai tanggungjawab memastikan semangat Perlembagaan serta falsafah yang tersirat di sebalik penubuhan sebuah negara merdeka, difahami, dihayati dan diluhurkan oleh rakyat jelata, agar negara kekal berdaulat, buminya makmur dan warganya hidup secara harmoni dan aman,” titah Baginda.

Pada masa sama, Sultan Nazrin bertitah, DBP hendaklah meneroka semula peranannya yang pernah berjaya memupuk perpaduan pada era awal kemerdekaan melalui medium bahasa dan sastera.

Baginda bertitah, ini kerana kesusasteraan Melayu berperanan penting memupuk perpaduan kaum dalam tempoh sejak merdeka hingga sekarang.

“Hari ini usaha untuk memupuk perpaduan semakin diperlukan untuk menangkis suara-suara yang cenderung mengapi-apikan perasaan rakyat atas nama bangsa (dan) atas nama agama.

“Suara-suara bernada permusuhan yang jika tidak segera dibendung, berpotensi besar meracuni pemikiran rakyat untuk curiga mencurigai yang akan berakhir dengan pertelingkahan, perselisihan dan perpecahan,” titah Baginda.

Terdahulu, buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ialah kesinambungan daripada buku Siri Titah I Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang telah diterbitkan dan dilancarkan pada 2021.

Buku ini mengandungi 35 titah Sultan Nazrin yang dizahirkan antara 6 Februari 2017 sehingga 21 Mac 2022 yang disusun dalam empat bahagian iaitu Institusi Raja; Tadbir Urus; Agama; serta Masyarakat dan Budaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI