KOTA BHARU – Gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) dilihat berdepan cabaran besar untuk meraih undi daripada pengundi luar yang pulang ke Kelantan untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, sehubungan itu, beliau berharap anak rantau yang pulang mengundi tahu perkara yang amat diperlukan oleh penduduk yang tinggal di negeri ini selepas PRN.
Menurutnya, rakyat Kelantan ketika ini dilihat mahukan perubahan selain menukar pentadbiran sedia ada terutamanya dalam aspek pengurusan air, tanah dan peluang pekerjaan di Kelantan.
“Selepas membuat analisa, tidak mustahil gabungan BN-PH menang di negeri ini. Jadi, pengundi luar juga perlu mengetahui apa yang diperlukan oleh penduduk di sini.
“Penduduk negeri ini sudah sinonim dengan pelbagai isu politik kerana banyak perkara yang sudah dibangkitkan. Saya kira, PRN kali ini adalah masa terbaik untuk membuat perubahan untuk rakyat dan negeri Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Negeri (PPN) Ke-54 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Kelantan di Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan memberitahu, kepimpinan yang mentadbir kerajaan negeri Kelantan perlu selari dengan Kerajaan Persekutuan bagi membuka peluang kepada negeri ini menerima pembangunan.
Menurutnya, kerjasama BN-PH ketika ini berjalan dengan baik dan ia boleh memberi impak yang positif sekiranya mampu mentadbir Kelantan.
“Kesannya gabungan ini boleh dilihat di Negeri Sembilan apabila kepimpinan kerajaan sebelum ini semakin kukuh dan program yang diadakan diterima rakyat.
“Di Kedah pula, gelombang baharu dapat dilihat. Saya yakin komitmen yang ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui pelbagai program ekonomi boleh memberi kesan kepada rakyat negeri itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE