BANDAR RAYA NEW YORK – Seorang pesohor aplikasi Twitch, Kai Cenat mencetuskan kekecohan di Bandar Raya New York selepas lebih 2,000 orang turun ke lokasi pemberian hadiah PlayStation 5 miliknya, lapor akhbar The Sun semalam.
Cenat mengumumkan pemberian konsol permainan itu dalam akaun Instagramnya kelmarin. Dia menyeru lebih enam juta pengikutnya hadri ke Union Square, Manhattan pada pukul 4 petang (waktu tempatan).
Sekumpulan kecil peminat berkumpul di Plaza Union Square sekitar pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) dan pada pukul 4 petang (waktu tempatan), kumpulan besar orang ramai mula mencetuskan huru-hara.
Pada pukul 4.30 petang (waktu tempatan), Jabatan Polis New York (NYPD) mengeluarkan arahan mobilisasi tahap empat iaitu tahap tindak balas rusuhan tertinggi di bandar raya itu.
Dianggarkan beribu-ribu anggota polis berada di tempat kejadian dalam masa 41 minit sebaik sahaja mobilisasi tahap empat diaktifkan. Orang ramai dilaporkan mengalami cedera ringan seperti pendarahan di kepala serta serangan panik.
Tidak lama selepas perhimpunan itu menjadi huru-hara, Cenat menyiarkan satu lagi video dari dalam kenderaannya sebelum keluar untuk menyerahkan konsol PlayStation tersebut.
Polis akhirnya menarik Cenat daripada orang ramai dan menahannya kira-kira pukul 5 petang (waktu tempatan).
NYPD memaklumkan bahawa Cenat telah didakwa secara rasmi berkaitan kejadian itu.
“Pesohor media sosial itu akan didakwa dengan sekurang-kurangnya dua pertuduhan mencetuskan huru-hara, perhimpunan menyalahi undang-undang dan pertuduhan lain,” kata Ketua NYPD, Jeffrey Maddrey.
Maddrey kemudian mengesahkan bahawa 65 orang telah ditangkap semasa huru-hara itu dengan 30 daripada mereka remaja bawah umur. – AGENSI