fbpx

MotoGP: Fabio Quartararo muak ‘janji kosong’ Yamaha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
QUARTARARO mengakui sudah muak mendengar ‘janji kosong’ Yamaha mengenai usaha mereka menghasilkan jentera terbaik. - AFP

LONDON – Pelumba Perancis, Fabio Quartararo mahu Yamaha membuktikan kemampuan sebenar jentera YZR-M1 agar mereka mampu muncul sebagai pasukan pencabar dalam perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Quartararo berharap dia tidak lagi mendengar janji kosong pasukan dari Jepun tersebut dan mahu Yamaha memberinya jentera yang memiliki kemampuan selayaknya untuk memburu kemenangan.

Justeru, Quartararo berkata, kata-kata semangat yang diungkapkan Yamaha tidak cukup buatnya kerana perkara paling utama adalah mereka perlu menunjukkan peningkatan pada sesi ujian di Misano September ini.

Ketika ini, pelumba Yamaha itu telah mengalami masalah yang sama seperti 2022 apabila sukar untuk memintas pelumba hadapan dan juga berdepan masalah pada sesi kelayakan yang sebelum ini menjadi kekuatan utamanya.

“Bagi saya ‘ujian Misano’ akan menjadi fasa sangat penting. Tiga tahun lepas saya mendengar banyak kata-kata daripada Yamaha bahawa mereka akan menjadi lebih baik.

“Tetapi, perkara sebaliknya berlaku apabila kami tidak benar-benar menunjukkan peningkatan dan saya tidak pernah mendapatkan jentera yang terbaik.

“Saya tidak mahu lebih banyak ‘cakap-cakap’ dan saya mahu fakta. Saya mahu menunggang sebuah jentera dan berasa seperti kami telah membuat peningkatan yang besar.

“Saya mahu menunggang jentera Yamaha di landasan yang betul dan melihat peningkatan. Ujian Misano akan menjadi ujian paling penting pada tahun ini,” tegas Quartararo.

Musim depan menyaksikan Quartararo cuba membawa Yamaha kembali ke hadapan bersama rakan sepasukan baharu, Alex Rins yang akan menggantikan Franco Morbidelli. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI