JOHOR BAHRU – Lima sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak terselamat selepas berjaya melarikan diri apabila kediaman mereka di Sri Awana Townhouse Apartment, Jalan Silat Lincah, Bandar Selesa Jaya, di sini terlibat dalam kebakaran.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu pada pukul 3.37 petang semalam sebelum menggerakkan seramai 15 pegawai dan anggota beserta tiga jentera ke lokasi kejadian.
“Setibanya anggota di lokasi, didapati sebuah bilik di tingkat tiga yang berkeluasan 96 kaki persegi musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran. Ketika kejadian berlaku, difahamkan ibu bapa kepada tiga kanak-kanak yang berusia 3, 6 dan 8 tahun tiada di rumah kerana bapa mereka keluar bekerja manakala ibunya ke kedai membeli barang.
“Apabila dimaklumkan jiran bahawa kediaman mereka berlaku kebakaran, pasangan suami isteri itu bergegas pulang dan menyelamatkan anak-anak mereka dengan segera keluar daripada rumah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Saifulbahri, anggota kemudian bertindak memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran 200 kaki yang dipam daripada jentera.
“Operasi tersebut kemudiannya ditamatkan pada pukul 4.56 petang selepas memastikan keadaan selamat,” ujarnya lanjut. – KOSMO! ONLINE