fbpx

Lesen memandu secara fizikal belum dihentikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CONTOH lesen memandu yang diperoleh individu selepas lulus menjalani ujian dan kelas. – GAMBAR HIASAN.

GEORGE TOWN – Pemandu yang memerlukan lesen memandu secara fizikal masih boleh mendapatkan lesen berkenaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ini kerana lesen memandu secara fizikal masih lagi dikeluarkan dan boleh dipohon menerusi cawangan JPJ.

“Kita bukan menghentikan pemberian lesen fizikal, lesen fizikal masih diberikan kepada pemohon. Jadi, kalau mereka memandu di luar negara di mana negara itu memerlukan lesen fizikal, mereka boleh mengambil lesen fizikal daripada JPJ semasa mereka memperbaharui lesen memandu masing-masing,” katanya di sini hari ini.

Loke mengulas mengenai dua lelaki warga Malaysia yang meluahkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan tindakan saman oleh pihak berkuasa Thailand meskipun sudah mempamerkan lesen memandu digital yang dimiliki mereka.

Difahamkan, individu warga Malaysia yang memandu di Thailand tidak memerlukan lesen antarabangsa, sebaliknya hanya perlu memiliki lesen sah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pada Februari lalu, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan mengumumkan bahawa Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) persendirian diubah kepada mod paparan digital secara berperingkat.

Menurut Anthony, sekiranya rakyat Malaysia memandu di luar negara mereka tertakluk kepada undang-undang tempatan negara berkenaan.

“Kita perkenalkan lesen digital ini supaya orang ramai yang membawa kenderaan, mereka boleh membawa lesen secara digital, jadi tidak ada penguatkuasaan saman dikenakan dalam negara kita. Tetapi apabila ke luar negara, sudah tentu mereka tertakluk kepada peraturan dan undang-undang di negara tersebut.

“Kalau cara mereka perlukan lesen memandu fizikal, itu adalah di bawah bidang kuasa mereka. Jadi kita tidak boleh mengatakan bahawa mereka perlu menerima cara kita, itu adalah negara masing-masing punya undang-undang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI