TALLAHASSEE, FLORIDA – Seorang lelaki mendakwa bahawa dia melihat sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) terbang melepasi ribut petir pada kelajuan 3,218 kilometer sejam ketika bercuti bersama keluarga di Pantai Fort Lauderdale, negeri Florida.
Portal berita MailOnline melaporkan, Carmen Rich, 29, memutuskan untuk merakam ribut yang melanda di pesisir pantai sekitar pukul 8 malam (waktu tempatan), 17 Jun lalu.
Rakaman memaparkan sebuah UFO muncul dan hilang dalam masa hanya satu saat.
Carmen yang menyaksikan kejadian itu berkata: “Wah, adakah anda melihat sesuatu yang baru sahaja melintas?”
Dia kemudian menunjukkan rakaman tersebut kepada adik perempuannya, Jennifer Rich, 20, dan beberapa pengunjung pantai lain.
“Saya menunjukkan rakaman itu kepada penduduk tempatan dan mereka juga tidak pernah melihat perkara seperti itu sebelum ini,” katanya.
Dia memutuskan untuk menyiarkan video itu di Facebook.
“Saya terpaksa mengulang semula video selepas anda menyebutnya. Rakaman yang baik,” komen seorang netizen. – Agensi