PETALING JAYA – Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramalkan melanda tiga negeri di Semenanjung sehingga pukul 11 pagi ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataannya berkata, seluruh negeri Perlis dan beberapa kawasan di Kedah dan Pulau Pinang antara yang dijangka mengalami cuaca buruk berkenaan.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Kedah meliputi Langkawi dan Kubang Pasu manakala Pulau Pinang melibatkan Barat Daya dan Timur Laut,” kata kenyataan itu.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter perjam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE