PETALING JAYA – Legenda olahraga negara, G. Shanti berbangga dengan kejayaan Shereen Samson Vallabouy akhirnya memecahkan rekod 200 meter (m) kebangsaan yang pernah dilakukannya 25 tahun lalu.
Shereen, 25, mencipta sensasi itu menerusi catatan masa 23.33 saat (s) pada Ed Murphey Classic di Memphis, Tennessee, Amerika Syarikat awal pagi tadi.
Ia sekali gus meleburkan rekod 200m kebangsaan iaitu 23.37s yang dilakukan Shanti sewaktu Kejohanan Olahraga Asia di Fukuoka, Jepun pada 22 Julai 1998.
Shanti, 56, secara terbuka mengucapkan tahniah atas kejayaan Shereen yang turut memegang dua lagi rekod kebangsaan iaitu 400m dengan catatan 51.80s dan 400m dalam dewan 52.27s.
“Saya memang raswa bangga sebab rekod ini sudah lama. Malah, atlet yang pecahkan pun anak kepada kawan saya (Josephine Mary Singarayar dan Samson Vallabouy).
“Saya mengucapkan tahniah dan mengharapkan yang terbaik dalam kariernya. Ia sesuatu yang bagus kerana ini membuktikan atlet-atlet kita sudah meningkat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Shanti masih memegang satu lagi rekod kebangsaan yang kini sudah berusia 30 tahun iaitu 100m dengan masa 11.50s dilakukannya sewaktu Kejohanan Pra Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993.
Bekas pemenang pingat gangsa 100m Kejohanan Asia Fukuoka 1998 itu percaya rekod tersebut mampu dipecahkan oleh Shereen atau mana-mana pelari negara yang lain seperti ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli.
“Rekod 100m saya lagi lama. Catatan rekod saya ini tidaklah begitu bagus tetapi kalau semua berusaha ia boleh dipecahkan. Sesiapa yang memecahkannya boleh pergi lebih jauh lagi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE