SINGAPURA – Gambar yang menunjukkan beberapa helai seluar dalam disidai di sisi bendera Singapura menjelang sambutan Hari Kebangsaannya Rabu ini rupa-rupanya adalah foto lama, lapor portal berita MSNews semalam.
Dalam gambar itu, beberapa helai seluar dalam disidai di tepi bendera Singapura di tingkat atas flat Lembaga Pembangunan Perumahan Awam di pulau itu.
Ia disidai pada tali atau dawai yang direntang di sisi bendera tersebut.
Pada mulanya, sejumlah netizen berasa marah dengan perbuatan menyidai seluar dalam dekat bendera kebangsaan dengan ada yang menulis meminta denda berat dikenakan terhadap pelakunya.
Bagaimanapun, selepas MSNews melakukan siasatan, ia mendapati foto itu telah dirakamkan pada 2015.
Berdasarkan Akta Simbol Negara baharu, pihak berkuasa boleh mengenakan denda maksimum S$30,000 (RM102,046) dan penjara enam bulan jika mengaibkan bendera Singapura. – Agensi