PADAWAN – Dua remaja perempuan maut setelah motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Batu 13, Jalan Kuching-Serian.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian dilaporkan kira-kira pukul 9.14 malam tadi, apabila kedua-dua mangsa yang berusia 18 tahun menyeberang jalan dengan melepasi pembahagi jalan (tengah jalan).
“Apabila melepasi pembahagi laluan, motosikal mereka terus masuk ke laluan kereta terbabit yang bergerak lurus dari arah Serian hendak menghala ke Kuching.
“Impak dari pelanggaran tersebut menyebabkan penunggang tercampak di atas pembahagi laluan manakala pembonceng tercampak di atas jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS) manakala pemandu kereta terbabit berumur 24 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE