fbpx

Bendera Tok Jebek berusia 156 tahun masih elok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARIPIN (kiri) menunjukkan bendera kuasa Tok Jebek pada majlis Kuliah Umum Adat Resam Melayu Pahang di Pekan semalam.

PEKAN – Bendera kuasa Tok Jebek berusia 156 tahun yang merupakan artifak bersejarah Kesultanan Pahang Moden kini masih elok disimpan oleh waris Tok Jebek.

Warisnya yang juga Tokoh Orang Hidup Warisan Kebangsaan, Prof Datuk Dr. Aripin Said berkata, Tok Jebek adalah Orang Besar Berlapan dalam era peme­rintahan Sultan Pahang 1, Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah.

Menurutnya, bendera kuasa milik Tok Jebek itu membuktikan susun lapis pemerintahan Kesultanan Pahang yang memberi kuasa kepada pembesarnya mentadbir daerah tertentu.

“Saya selaku waris keenam Tok Jebek yang menyimpan bendera ini secara turun-temurun dan bendera ini adalah asli daripada anugerah langsung sultan,” katanya di sini semalam.

Nama penuh Tok Jebek ialah Imam Perang Gajah Tunggal Tok Setia Raja Tok Jebek Tok Akil yang lahir pada tahun 1842 di Kampung Bohor, Bera.

Menurutnya, Tok Jebek menerima bendera anugerah Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah di Istana Pulau Tawar pada 1867 bagi mengenang jasa Tok Jebek yang terlibat dalam perang saudara di Pahang (1857-1863) dan perang Kelang di Selangor ­(1869-1873).

Katanya, bendera tersebut adalah sehelai kain kapas berwarna hijau yang mempunyai logo grafik bunga melur empat kelopak berwarna putih.

“Warna hijau menjadi latar beriramakan negeri Pahang aman dan makmur, manakala empat kelopak bunga melur tersebut memberi erti kawasan pentadbiran Tok Jebek di wilayah Bohor iaitu timur, barat, utara dan selatan,” ujarnya.

Menurutnya, Tok Jebek turut dihargai kerana menjadi duta kecil bagi mengukuhkan perpaduan Melayu-Cina, malah Tok Jebek adalah rakan karib kepada Kapitan Cina Kuala Lumpur, Yap Ah Loy.

Katanya, berasaskan cerita turun-temurun, Tok Jebek juga adalah guru pertama yang mengajar Mat Kilau dikir rebana dan tari perang serta bermain tumbuk lada.

“Gerak tari perang itu silat pulut atau silat sembah atau silat pengantin berkembang sehingga sekarang di Pahang.

“Pahlawan Mat Kilau yang ditemui di Paya Besar pada tahun 1968 telah memberi tafsiran makna bendera ini iaitu grafik putih ialah bunga melur atau melati empat kelopak,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI