PETALING JAYA – Seorang wanita mendakwa berdepan pengalaman seram selepas berurut dengan seorang tukang urut kampung yang dikatakan mengamalkan sesuatu ilmu, sehingga sanggup ‘mengikat’ namanya dengan pocong.
Tukang urut tersebut melakukan perbuatan itu dipercayai supaya wanita berkenaan datang berurut lagi dengannya setiap kali dia berasa sakit-sakit badan.
Pengalaman itu diceritakan seorang pengguna TikTok ell.chaaa selepas dia berurut dengan seorang tukang urut wanita tinggal di Meru, Klang yang dikenali melalui rakannya.
“Masuk rumah dia macam seram dan masa nak mula sesi urut, peliknya dia tanya nama penuh, nama mak dan semua dia nak tahu. Dia nak kenal lah kan. Aku jawab nama penuh semua detail.
“Kemudian dia kata pusing belakang sebab dia nak urut. Masa dia nak urut belakang, aku pelik kenapa dia terkumat-kamit aku tak tahu baca apa. Tangan urut aku tu macam bukan tangan perempuan.
“Aku pun… tak apa lah. Diam saja lah, dah sakit badan. Biar saja urut sampai habis. Lpeas dua hari, sangat lega dan selepas seminggu, sakit sangat di urat belikat sampai nangis-nangis,” katanya pada video tersebut.
Dia kemudian mengambil keputusan mahu berurut lagi kerana bimbang tukang urut itu tersalah urut.
“Tapi tak nak datang kat dia lagi sebab dia macam sesuatu. Aku nak cari tukang urut lain. Kakak aku pula waktu itu nak pergi berubat ke Darussyifa’. Jadi alang-alang aku pun bolehlah tanya ustaz.
“Aku cakap ‘sakit-sakit badan ustaz lepas urut dengan orang, saya sakit lebih daripada sebelum diurut’. Dia tanya, ‘awak urut dengan siapa, awak urut dengan orang di jalan (alamat rumah) ni ya?’.
“Macam mana dia boleh tahu dan aku tanya, ‘kenapa ustaz, dia tak okay ke?’. Ustaz itu beritahu, ‘kalau betul-betul sakit, minta saja ahli keluarga tolong urut, tak payah pergi urut dengan sembarangan orang’,” katanya.
Menyambung ceritanya, wanita itu memberitahu namanya telah ‘diikat’ oleh tukang urut tersebut yang mana ketika dia ditanya nama penuh sebelum sesi mengurut dilakukan.
“Dia pegang nama aku supaya aku datang urut kat dia setiap kali aku sakit. Maksudnya dia ‘ikat’ aku dan benda ‘diikat’ itu pula benda aku pernah nampak sebelum ni iaitu pocong.
“Waktu itu aku dah gigil bila ustaz tu cakap dan di situ juga lah berubat. Sejak tu, aku tak pergi mengurut dah kecuali masa berpantang,” ceritanya. – KOSMO! ONLINE