SHAH ALAM – Oman dijangka akan menjadi lawan Harimau Malaya yang dalam rangka persiapan terakhir sebelum membuka tirai saingan Kumpulan E Piala Asia 2023.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata perlawanan itu akan diadakan di Oman sejurus skuad negara selesai berdepan Arab Saudi di Doha.
“Kita memang pasti akan menentang Arab Saudi di Doha pada 3 Januari dan selepas itu kita akan terbang ke Oman untuk menentang skuad kebangsaan negara itu.
“Sama ada kita satu kumpulan dengan Oman atau tidak, saya berpendapat ia sesuatu yang bagus untuk kita kerana ia akan dimainkan secara tertutup. Ini masanya untuk Kim Pan Gon melihat semula pasukan, tukar taktikal ataupun buat penambahbaikan.
“Dalam bola sepak moden, setiap pasukan boleh lihat pasukan lawan melalui pelbagai cara sama ada menerusi video dan sebagainya,” katanya pada Majlis Perasmian Liga Wanita Nasional (LWN) 2023 di Stadium UiTM, hari ini.
Di Piala Asia nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama gergasi Asia, Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.
Harimau Malaya akan membuka tirai saingan menentang Jordan di Stadium Ahmad bin Ali pada 15 Januari.
“Yang penting adalah persiapan dan taktikal kita. Seterusnya (selepas aksi dengan Arab Saudi dan Oman) kita akan hadapi pertandingan sebenar,” katanya. – KOSMO! ONLINE