fbpx

Angkat kepakaran universiti demi kemajuan negara – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANWAR (empat dari kiri) ketika merasmikan Majlis Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke-16 (PERKEM 16) di Butterworth, hari ini.

SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan kepakaran yang dimiliki institusi pengajian tinggi (IPT) dan universiti negara diangkat bersama Kerajaan Pusat dalam memacu ekonomi serta kemajuan negara dengan lebih pesat.

Sehubungan itu, beliau akan meminta pengurusan IPT dan universiti memberikan laporan terperinci berkaitan kepakaran, tenaga akademik dan penyelidik yang dimiliki institusi masing-masing supaya dapat dipadankan dalam pentadbiran Kerajaan Pusat.

Menurutnya, usaha itu bagi memastikan wujud sinergi dan kerjasama langsung dengan IPT dan universiti yang dapat dimanfaatkan oleh pentadbiran Kerajaan Pusat.

“Kepakaran universiti ini mesti diangkat sepenuhnya kerana ini belum dilakukan dan ini menjadi kerugian kepada negara.

“Jadi, saya minta laporan terperinci supaya universiti berikan bidang-bidang tenaga akademik dan penyelidik untuk kita sesuaikan di jabatan atau kementerian mana supaya ada sinergi dan dapat dimanfaatkan (oleh Kerajaan Pusat).

“Andaiannya, jika ini dapat dilakukan dalam tempoh segera, kita boleh pacu ekonomi dan mencapai pertumbahan enam peratus dalam masa singkat selain pelaburan negara juga boleh bertambah di luar jangkaan,” katanya ketika merasmikan Majlis Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke-16 (PERKEM 16) di Butterworth, hari ini.

Persidangan tahunan anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), UKM bertemakan ‘Ketahanan dan Keterangkuman dalam Memacu Pemulihan Ekonomi di Era Ketidakpastian Geo-Politik’ itu disertai kira-kira 350 orang terdiri daripada kakitangan pentadbiran dan profesional dari sektor awam serta swasta.

Persidangan itu turut melibatkan pembentangan sebanyak 76 kertas kerja oleh seramai 91 individu dalam pelbagai bidang kepakaran termasuk dari Malaysia dan Indonesia.

Dalam pada itu, Anwar menambah, beliau juga akan meminta Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi mendapatkan input daripada kepakaran yang dimiliki IPT dan serta universiti dalam merangka Bajet Madani 2.0 yang akan dibentangkan pada Oktober ini.

“Saya minta input, teguran, kritikan daripada akademik, saya okay, tidak ada masalah. Jangan bimbang kalau ada ahli akedmik yang memberi pandangan sedikit menyimpang, saya tidak ada masalah.

“Sebab saya mahu kita bekerjasama sebagai satu pasukan, supaya ada sinergi yang jelas antara universiti dan Kerajaan Pusat dan saya minta Kementerian Kewangan untuk Belanjawan Madani kedua, pada Oktober ini, supaya rangkum semua kekuatan yang ada pada kementerian, kerajaan dan universiti awam serta swasta,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI