KUALA LUMPUR – Bintang skuasy meningkat naik negara, Noor Ainaa Amani Ampandi mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan utama, Rachel Arnold untuk melangkah ke final Kejohanan Skuasy Kebangsaan WCE SRAM kali ke-38.
Ainaa, 21, bangkit daripada ketinggalan dua set untuk menewaskan Rachel 9-11, 2-11, 11-4, 11-6, 11-7 dalam tempoh 34 minit pada aksi separuh akhir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Kemenangan itu membolehkan Ainaa menempah pertemuan di pentas final esok menentang seorang lagi bintang muda negara, Aira Azman yang muncul naib juara remaja dunia baru-baru ini.
“Rachel seorang pemain yang mempunyai tempo permainan laju. Jadi saya cuba untuk menukar strategi permainan dan percaturan saya berjaya.
“Walaupun Aira pemain muda tetapi rankingnya jauh lebih tinggi daripada saya. Saya akn cuba untuk memberikan tentangan sengit kepada Aira,” kata Ainaa.
Aira mara ke final selepas mudah mengatasi Yee Xin Ying dengan keputusan 11-9, 11-1, 11-2 dalam tempoh 14 minit.
“Sebenarnya saya tidak jangka mara ke final kerana baru balik daripada Kejohanan Remaja Dunia di Melbourne. Badan saya masih penat tetapi saya akan keluarkan semua yang ada untuk mendapatkan gelaran juara,” jelas Aira.
Final Divisyen Premier lelaki esok bakal menyaksikan pertarungan antara pilihan pertama, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar menentang pilihan kedua, Ivan Yuen.
Addeen mara selepas menewaskan Ong Sai Hung 9-11, 11-5, 11-7, 11-7, manakala Ivan menundukkan pemain muda, C. Ameeshenraj dengan keputusan 17-15, 11-8, 11-13, 11-6. – KOSMO! ONLINE