PETALING JAYA – Dibelenggu masalah terputus bekalan air bersih lebih enam bulan, wanita tekad meluahkan kekesalan terhadap pihak berwajib yang tidak mengambil sebarang tindakan.
Jelas Nur Idayu Supian, aktiviti harian keluarganya terbatas selain terpaksa menggunakan tandas masjid berdekatan untuk membersihkan diri.
“Agak-agak bila masalah air dekat sini selesai? Dah enam bulan langsung tidak ada air, dari pagi sampai malam. Setiap hari saya punggah air dari masjid untuk buat kegunaan harian.
“Saya pun dah tebal muka untuk tumpang mandi di tandas masjid. Kadang-kadang saya hidup dalam tekanan sebab saya memang perlukan air bersih,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku di Kampung Banggol Stol, Pasir Mas, Kelantan.
Lebih parah, Nur Idayu yang mengusahakan perniagaan bakeri dari rumah terpaksa mengurangkan tempahan kerana bekalan air bersih yang terhad.
“Saya terpaksa fikir dua tiga kali untuk terima tempahan kek sebab saya perlukan air bersih dalam kuantiti yang banyak untuk basuh peralatan memasak.
“Saya bertambah tertekan dalam keadaan begini. Pendapatan keluarga saya juga terjejas,” ulasnya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai turut bersimpati dengan keadaan yang dihadapi serta ada juga yang berkongsi pengalaman yang sama.
“Lama sangat tu 6 bulan, saya kalau tak ada air sehati pun tak boleh. Lagi-lagi bila ada anak kecil, susah sangat tu,” komen Nur Faliyanaa.
“Orang yang tidak pernah merasai memang tidak akan tahu perit. Benda asas seperti air, elektrik dan telekomunikasi wajib ada,” tulis Rozz Mohamad. – KOSMO! ONLINE