fbpx

Usahakan cendawan tiram sebagai punca rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wong menunjukkan cendawan tiram dan peralatan yang digunakannya di Pengkalan Hulu baru-baru ini.

PENGKALAN HULU – Harga getah yang rendah pernah membuatkan seorang anak muda di sini, Wong Prarip, 26, resah tentang nasibnya sebagai pekebun kecil.

Namun tekanan yang dihadapi membuka jalan baharu kepada­nya untuk mencuba tanaman baharu iaitu cendawan tiram setelah melihat rakan senasib gigih berniaga tumbuhan itu.

Berbekalkan tekad yang tinggi, beliau tidak sekadar mengikut, malah berusaha menimba kemahiran tentang penanaman, pemasaran serta meneroka peluang disediakan kerajaan negeri.

Kursus dan bantuan kerajaan negeri bukan sekadar wang ringgit, malah meliputi teknik perniagaan moden seperti jualan menerusi dalam talian.

“Banyak jenis tanaman saya cuba buat termasuk cili. Sekarang mencuba cendawan pula. Nampak positif dan harap usaha ini terus berkembang,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Jenama perniagaan atau projek tersebut ialah R1 Organic Mushrooms Farm dan diuar-uarkan sebagai pembekal bongkah atau cendawan tiram segar.

Terletak di pendalaman Pengkalan Hulu, Perak, luas tanah digunakan kira-kira 1 hektar bersebelahan kebun getah.

Perusahaan itu dilengkapi mesin memproses campuran bahan mentah dan benih, peti memanaskan bongkah cendawan dan dua bangsal atau rumah cendawan yang menempatkan bongkah bagi pengeluaran hasil.

Wong berkata, penyediaan kelengkapan termasuk mesin memproses banyak dibantu agensi-agensi negeri termasuk Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) yang menjadi agensi utama memacu kelestarian sekuriti makanan yang menjadi agenda utama Pe­rak Sejahtera 2030.

Jelasnya, mesin itu berfungsi mengadunkan bahan mentah sehingga diproses membentuk unit bongkah plastik yang mengan­dungi benih cendawan.

“Bantuan dana dan teknikal oleh Kerajaan Negeri Perak, menjadikan produktiviti lebih tinggi dan berkualiti. Sewaktu tanpa mesin ini dahulu, pengeluaran sangat sedikit, sekarang sudah berganda,” katanya.

Bercerita mengenai pasaran, jelas Wong, sambutan orang ramai kepada cendawan tiram amat baik sama ada untuk masakan atau membeli bongkah bagi mendapatkan hasil.

Ujarnya, setiap bongkah yang matang boleh mengeluarkan ha­sil cendawan sehingga 600 gram setiap kali berbunga dengan jangka hayat satu bongkah bagi menghasilkan tanaman mampu mencecah hingga empat bulan.

“Permintaan sangat tinggi. Ka­dangkala pengeluaran tidak mencukupi. Pegawai agensi kerajaan kerap hadir untuk melihat bentuk bantuan bagi meningkatkan hasil,” katanya.

Beliau kini mahu menambah rumah cendawan di kawasan tersebut dan gembira ia mendapat perhatian kerajaan negeri.

“Kita sahut slogan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk rakyat negeri ini ‘tanam (ternak, pelihara) apa yang kita makan, makan apa yang kita ta­nam (ternak, pelihara), selebih­nya kita jual,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI