KUALA LUMPUR – Penutupan Jalan Sungai Besi menghala ke Sungai Besi atau Petaling Jaya (berhadapan Fraser Business Park) dan Bulatan Loke Yew ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kenyataan hari ini berkata, penutupan jalan itu sepatutnya dijadualkan bermula esok sehingga 4 Ogos tahun depan.
“Walau bagaimanapun, kenyataan media yang kita siarkan pada Selasa itu dibatalkan dan akan ditangguhkan sehingga pengumuman lanjut.
“Pengguna jalan raya di laluan berkenaan boleh melalui laluan tersebut seperti biasa,” katanya.
Terdahulu, DBKL dalam kenyataan berkata penutupan jalan itu adalah untuk membolehkan kerja pengubahsuaian dan pembinaan jambatan di Bulatan Loke Yew.
Ekoran itu, beberapa laluan alternatif serta lencongan trafik telah disenaraikan bagi memudahkan pengguna untuk menuju ke destinasi masing-masing. – KOSMO! ONLINE