LONDON – Arsenal dilaporkan hanya akan melepaskan Takehiro Tomiyasu menerusi perpindahan tetap, bukannya secara pinjaman selepas Inter Milan menunjukkan minat mendapatkan pemain pertahanan kanan itu.
Tomiyasu, 24, dikatakan tidak dijanjikan minit permainan yang banyak menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu depan susulan kehadiran Jurrien Timber dari Ajax.
Situasi kecederaan yang sering dialami tonggak Jepun itu juga antara salah satu faktor The Gunners bersedia melepaskannya dalam pasaran perpindahan ketika ini.
Ia menyebabkan Tomiyasu sekadar bermain 42 perlawanan EPL sepanjang dua musim bersama pasukan kendalian Mikel Arteta itu sejak berhijrah daripada Bologna pada 31 Ogos 2021.
Ia sekali gus menarik perhatian Inter kerana merasakan Tomiyasu boleh mengisi kekosongan ditinggalkan Milan Skriniar yang kini berhijrah menyertai gergasi Perancis, Paris Saint-Germain.
Bagaimanapun, skuad bimbingan Simone Inzaghi itu tidak bercadang mendapatkan Tomiyasu secara tetap yang dianggarkan bernilai €21.8 juta (RM108.63 juta) dan lebih berminat melakukan urusan pinjaman selama semusim.
The Nerazzurri kini berada dalam keadaan terdesak selepas sasaran awal mereka iaitu bekas kapten Chelsea, Cesar Azpilicueta mengubah keputusan pada saat akhir untuk menyertai Atletico Madrid.
Buat masa ini, Inter hanya mengharapkan pertahanan muda Jerman berusia 22 tahun, Yann Bisseck yang baru dibeli daripada kelab Jerman, Aarhus dengan harga €7 juta (RM34.88 juta). – AGENSI