KUANTAN – Sri Pahang akan merehatkan beberapa pemain utama untuk memulakan kempen siri Piala Malaysia apabila dijadualkan bertemu Harini FT di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
Jurulatih, Fandi Ahmad mengesahkan mahu memberi peluang untuk pemain simpanan beraksi dan skuad utama perlu berada dalam prestasi terbaik ketika saingan liga super bersambung nanti.
Kata Fandi, bukan memandang mudah cabaran sebuah kelab yang beraksi di Liga M3, tetapi Sri Pahang perlu bertindak bijak mengikut situasi.
“Beberapa pemain utama masih mengalami masalah kesihatan serta kecederaan sehingga perlu direhatkan lebih lama untuk kembali cergas.
“Namun, rombakan ini mungkin hanya membabitkan tiga atau empat pemain sahaja kerana saya tahu Harini FT turut memiliki pemain berpengalaman yang pernah beraksi di Liga Super sebelum ini.
“Begitu juga senarai pemain import kerana kemungkinan hanya empat pemain yang akan beraksi.
“Rombakan ini bukannya bermaksud kita memandang mudah keupayaan lawan tetapi ia juga memastikan Sri Pahang pada prestasi terbaik apabila bersaing dalam Liga Super nanti,” katanya kepada Kosmo!.
Fandi mengesahkan pemain yang mengalami kecederaan ketika ini ialah Fadhli Shas, Zuhair Aizat Mohd Nazri dan Kevin Ingreso.
“Oleh itu, saya mahu pemain mendapatkan gol seawal mungkin sebagai motivasi untuk mencatat kemenangan selesa.
“Saya jangkakan Harini akan bermain secara bertahan dengan lima pemain berada di bahagian pertahanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE