BUKIT JALIL – Ketua jurulatih skuad ragbi tujuh sebelah (7s) kebangsaan, Nik Safuan Ismade Nik Man berharap pasukannya tidak diundi dalam kumpulan maut menjelang Sukan Asia Hangzhou, China nanti bagi mengurang tekanan agar sasaran empat terbaik mampu dicapai.
Jurulatih kelahiran Kuala lipis, Pahang tersebut mengakui sekiranya skuad Bungraya dapat mengelak berdepan pasukan gergasi seperti Jepun mahupun Hong Kong lebih awal, tidak mustahil pasukan negara berpotensi memburu kedudukan lebih baik pada temasya edisi ke-19 tersebut.
“Kalau diberikan pilihan, saya harap kita duduk (kumpulan) dengan Korea atau China, sebab pemain mereka fizikal besar namun, kita ada kelebihan dari segi kelajuan. Untuk mana-mana pasukan, kelajuan sangat penting.
“Kalau ikutkan, pasukan gergasi sekarang ialah Jepun, Hong Kong, Korea Selatan dan China. Ini pasukan gergasi yang perlu kita awasi dan saya berharap proses undian akan berpihak kepada kita.
“Sebab itu, selepas berakhir perlawanan ujian antarabangsa dengan Singapura baru-baru ini, kita sedang meningkatkan tahap stamina pemain negara. Sewaktu perlawanan di Singapura kecergasan pemain negara masih di tahap sederhana.
“Oleh itu, saya mahu menggunakan masa yang ada ini untuk mengilap barisan pemain ragbi negara agar mereka benar-benar bersedia sebelum memulakan cabaran di Hangzhou nanti,” katanya ketika ditemui sewaktu lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt di ISN, hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sasaran, Nik Safuan menegaskan dia akan mencari jalan penyelesaian bagi memastikan sasaran berada di kedudukan empat terbaik Asia mampu dicapai biarpun mengakui agak ‘berat’ untuk anak-anak buahnya memenuhi sasaran tersebut.
“Jika diikutkan, kita memang bermula lambat namun kita akan cuba buat yang terbaik untuk pasukan kali ini. Dalam soal perancangan latihan, saya sudah kenal pasti beberapa aspek yang perlu diperbaiki termasuk aspek pertahanan dan kedudukan pemain.
“Kita juga bercadang untuk untuk menghantar skuad ini ke kejohanan 7s Asian Series yang berlangsung pada 26 hingga 27 Ogos ini di Incheon, Korea Selatan. Ketika ini kita masih menanti sama ada layak atau tidak. Ragbi Asia yang akan tetapkan pasukan mana layak ke Asian Series, sekarang Sri Lanka dalam tempoh pegantungan.
“Jadi, kita harap ada tempat untuk kita. Jadi, apa-apa pun kita tunggu keputusan yang dijangka akan dibuat selepas 10 Ogos nanti.
“Jika keputusan tidak memihak kepada kita di Asian Series, kita cuba untuk aturkan perlawanan ujian sama ada dengan Thailand atau Taiwan pada hujung bulan ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE