fbpx

Satu per tiga dewasa tak sedar hidap hipertensi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGAMBILAN garam perlu dikawal bagi mengurangkan risiko hipertensi. – Gambar hiasan

Hipertensi telah menjadi salah satu masalah kesihatan yang banyak dihadapi oleh masyarakat di negara ini.

Hipertensi merujuk kepada keadaan di mana individu mengalami tekanan darah tinggi secara berterusan.

Ia juga dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ sekiranya seseorang itu mempunyai hipertensi tanpa disedari.

Keadaan ini memerlukan perhatian segera kerana ia akan membawa kemudaratan terhadap kesihatan dan kesejahteraan hidup.

Selain itu, hipertensi boleh meningkatkan risiko serangan jantung.

Perunding Kanan Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr. Azhari Rosman berkata, berdasarkan data daripada IJN, lebih 70 peratus daripada 10,000 penyakit kegagalan jantung mempunyai hipertensi atau tekanan darah tinggi.

“Sebenarnya darah tinggi ini menyebabkan dinding jantung semakin tebal.

“Ini akan menyebabkan darah tidak boleh masuk dan dipam dengan sempurna. Keadaan ini juga menyebabkan ia tidak cukup oksigen, sekali gus membawa kepada serangan jantung, kerosakan otot dan jantung semakin membengkak.

“Akhirnya individu itu mengalami kegagalan jantung,” katanya selepas Kongres Saintifik Tahunan Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH) 2023 di ibu negara baru-baru ini.

Dalam pada itu, kadar prevalen hipertensi dalam kalangan dewasa berumur 18 tahun ke atas adalah sebanyak 30 peratus.

DR. ZALIHA (tengah) bergambar bersama barisan peserta yang hadir pada Kongres Saintifik Tahunan Persatuan Hipertensi Malaysia di ibu negara baru-baru ini.

Lebih merisaukan, satu daripada tiga orang dewasa yang mempunyai tekanan darah tinggi tidak menyedari keadaan mereka.

Hal ini kerana hipertensi sering kali tidak menunjukkan tanda atau gejala yang jelas.

Berdasarkan kajian Malaysia Community Salt Survey (MyCoSS), 79 peratus rakyat Malaysia mengambil 7.9 gram garam atau 3,167 miligram natrium pada setiap hari. Bahan ini boleh menyumbang kepada hipertensi.

Dalam pada itu, Dr. Azhari berkata, darah tinggi adalah penyakit serius dan menjadi pembunuh senyap.

Katanya, ia bukan saja penyumbang kepada masalah jantung, individu yang mengalami tekanan darah tinggi juga boleh menghidap strok.

“Apabila seseorang individu itu mendapat penyakit ini, mereka tidak boleh dipulihkan, tetapi masih boleh dikawal dengan pengambilan ubat.

“Namun jika pesakit berhenti makan ubat, tekanan darah tinggi semakin serius.

“Kesannya akan menyebabkan penyakit lain seperti kegagalan buah pinggang,” katanya yang juga Naib Presiden MSH.

Oleh itu, amat penting untuk melakukan pemeriksaan kesihatan berkala serta amalan gaya hidup sihat bagi pengawalan serta pencegahan penyakit lebih serius.

Selepas usia 30 tahun, kita perlu melakukan pemeriksaan tekanan darah tinggi sekurang-kurangnya sekali setahun.

Bagi mereka yang mempunyai sejarah penyakit, perokok atau kegemukan, mereka perlu membuat pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya enam bulan sekali.

Selain itu, masyarakat digalakkan untuk meluangkan masa melakukan senaman 30 minit sehari serta amalkan pemakanan sihat termasuk mengawal pengambilan garam iaitu 5 gram sehari.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dalam ucapannya sewaktu Kongres Saintifik Tahunan Persatuan Hipertensi Malaysia berkata, hipertensi terus menjadi cabaran kesihatan awam di seluruh dunia.

Menurutnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa hipertensi adalah keadaan perubatan yang teruk.

Ujar beliau, masalah itu telah menjejaskan lebih 1.28 bilion orang dewasa di seluruh dunia dengan kebanyakan orang tidak menyedari bahawa mereka menghidapnya.

“Hanya 42 peratus daripada orang dewasa yang menghidap hipertensi didiagnosis dan dirawat.

“Sementara itu, hanya 21 peratus pesakit mempunyai tekanan darah tinggi terkawal.

“Hipertensi adalah penyumbang penting kepada morbiditi dan kematian pramatang di seluruh dunia.

“Ia juga merupakan penyebab utama penyakit kardiovaskular,” jelasnya.

Dalam menangani masalah itu, kita semua mesti meningkatkan langkah pencegahan.

Kempen pendidikan awam adalah penting untuk meningkatkan kesedaran tentang faktor risiko hipertensi dan menggalakkan pilihan gaya hidup sihat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI