KUALA LUMPUR – Atlet lompat bergalah wanita negara, Nor Sarah Adi perlu segera melupakan pengalaman pahitnya di pentas Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu, China.
Sarah, 22, terpaksa akur apabila menamatkan acara kegemarannya itu tanpa sebarang catatan pada aksi final yang berlangsung di Stadium Shuangliu hari ini.
Atlet dari Maran, Pahang yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM) itu gagal melepasi had ketinggian pertamanya iaitu 3.75 meter (m) selepas memilih untuk tidak melompat pada catatan 3.60m.
Situasi itu mungkin disebabkan masalah kecederaan yang dialami Sarah sebelum ini mengakibatkan dia terlepas beraksi pada Kejohanan Olahraga Asia 2023 di Bangkok, Thailand bulan lalu.
Sebagai rekod, catatan peribadi terbaik Sarah ialah 4.05m dilakukan ketika meraih pingat perak Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh pada Mei lalu.
Emas bagi acara itu dimenangi Angelica Moser dari Switzerland dengan catatan 4.62m, manakala Qiaoling Chen (China), Albane Margaux Dordain (Perancis) dan Berenice Alexandra Petit (Perancis) berkongsi pingat perak.
Ia selepas ketiga-tiga atlet itu berjaya melepasi had ketinggian 4.30m. – KOSMO! ONLINE