fbpx

Rumah terbakar, tiga beranak nyaris rentung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bahagian ruang tamu rumah Siti Fatanah di RKT Kesedar Jeram Tekoh, Gua Musang yang musnah dalam kebakaran semalam. - Foto oleh AIMUNI TUAN LAH / KOSMO!

GUA MUSANG – Tiga beranak nyaris rentung selepas rumah separa batu di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh di sini yang menjadi tempat tinggal mereka sejak 40 tahun lalu musnah dalam kebakaran yang berlaku semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, Siti Fatanah Daud, 68, bersama dua anak perempuannya, Siti Noor Asikin Mohamed, 31, dan Siti Noral Asmad Mohamed, 29, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Siti Noral Asmad, kejadian itu disedari oleh ibunya yang bangun untuk mengambil wuduk bagi menunaikan solat Subuh.

Katanya, ibunya terdengar bunyi letupan sebelum melihat percikan api di kotak suis yang terletak di ruang tamu.

“Ibu menjerit dan segera memanggil saya dan kakak yang sedang tidur. Saya berlari keluar melalui pintu dapur untuk meminta bantuan jiran.

“Semasa dalam kelam kabut menyelamatkan diri, ibu terjatuh kerana keadaan gelap berikutan bekalan elektrik terpadam dan api semakin marak.

Siti Noral Asmad berkata, dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian yang telah memusnahkan bahagian ruang tamu rumah termasuk perabot dan peralatan elektrik.

“Alhamdulillah, kami semua selamat. Difahamkan, api marak di bahagian ruang tamu rumah semasa penduduk membantu memecahkan pintu utama rumah kami.

“Kami sekeluarga ketika ini menumpang di rumah jiran buat sementara waktu. Ibu masih trauma dengan kejadian kebakaran itu,” katanya.

Terdahulu, keluarga berkenaan dikunjungi oleh calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff.

Ab. Aziz berkata, dia berharap keluarga mangsa dapat bersabar dengan ujian tersebut dan pihaknya akan membantu selain melihat keperluan yang boleh dibanru.

Katanya, dia juga akan membantu memaklumkan nasib keluarga itu kepada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) untuk melihat keperluan keluarga mangsa sama ada rumah berkenaan masih boleh dibaiki atau dibina baharu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI