SHAH ALAM – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan pihaknya tidak meniru atau ‘copy paste’ manifesto gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor.
Tegas beliau, PN cukup berpengalaman dengan pernah berada di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri sebelum ini.
“Saya tidak baca pun apa tawaran sebelah sana. Nak copy paste apa.
“Tidak payah ajar (PN) sebab kita sudah ada pengalaman lama yang digunakan. Itu sudah jadi asas yang kukuh,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan tawaran PN negeri Selangor, malam ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus manifesto PN adalah salin tampal daripada apa yang dilancarkan PH-BN Selangor pada Isnin lalu.
Mengulas lanjut, Muhyiddin turut mempersoalkan ketelusan PH-BN Selangor yang tidak menyatakan jumlah keseluruhan perbelanjaan manifesto mereka.
“Saya baca kenyataan menteri besar (Datuk Seri Amirudin Shari) yang bercakap tengok dia (PN) akan tiru apa kita (PH-BN) buat.
“Ini bukan tiru, buat apa yang patut. Tanya adakah dia tawarkan rangsangan RM2 billion. Ada? sama, tidak sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE