SHAH ALAM – Bantuan bulanan RM400 bagi pembelian barangan asas kepada 65,000 keluarga dan insentif RM500 kepada ibu bersalin di Selangor antara 112 tawaran dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) kepada rakyat Selangor.
Manifesto bertemakan “Selangor Baharu, Kita Bangkit” itu dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya menyedari bahawa masalah utama dihadapi rakyat di negeri Selangor pada masa ini adalah tekanan kos sara hidup dan keadaan ekonomi negeri yang suram.
Katanya, ini sebahagian besarnya disebabkan oleh ketidakcekapan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang sedia ada untuk menawarkan suatu penyelesaian yang berkesan dan menyeluruh kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat.
“Saya turun ke bawah dan mendapati ramai yang mengeluh mengenai kenaikan harga barang, perniagaan yang merosot, pendapatan yang tidak bertambah.
“Di samping itu, tiadanya bantuan daripada kerajaan yang benar-benar dapat membantu meringankan beban yang sedang ditanggung oleh rakyat dan perniagaan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Tawaran PN negeri Selangor di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) memberitahu, malahan Ekonomi Madani yang dibentang oleh Perdana Menteri baru-baru ini juga gagal untuk menyediakan suatu pelan rangsangan dan pemulihan ekonomi secara meyeluruh dan segera yang amat diperlukan oleh rakyat dan perniagaan pada masa ini.
“Sebaliknya, rakyat ditabur dengan ‘gula-gula’ pilihan raya yang bersifat sementara dan masih belum kunjung tiba,” tegasnya.
Mengulas manifesto tersebut, Muhyiddin menjelaskan PN turut menawarkan elaun khas tahunan sekurang-kurangnya dua bulan gaji akan diberikan kepada anggota perkhidmatan awam di negeri Selangor sebagai langkah mengiktiraf peranan mereka.
“Jika kedudukan kewangan mengizinkan, kita akan pertimbangkan tiga bulan gaji.
“Saya ingin tekankan bahawa Tawaran PN Selangor ini adalah tawaran yang realistik serta boleh dilaksanakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE