fbpx

Piala Malaysia: Gugup punca Penang FC tewas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jurulatih Penang FC, Chong Yee Fatt (tengah) memberi arahan kepada pemain-pemain Penang FC ketika menentang KL City di Stadium Bandaraya, semalam.

“SAYA fikir mereka (pemain) ketika ini terlalu gugup dan terlalu berhati-hati sehingga melakukan beberapa kesalahan yang tidak sepatutnya di atas padang.”

Itu antara rumusan yang dibuat oleh ketua jurulatih Penang FC, Chong Yee Fatt selepas menyaksikan anak-anak buahnya ‘terkulai’ akibat ‘dibelasah’ 0-4 oleh Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Bandaraya, di sini dalam aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia, malam tadi.

Yee Fatt kembali ke bangku simpanan sebagai pengendali pasukan selepas terpaksa berehat panjang akibat masalah kesihatan sebelum ini dan tempatnya digantikan oleh penolong jurulatih, Manzoor Azwira buat sementara waktu.

Jelas Yee Fatt, KL City adalah pasukan yang kuat dan walaupun tidak lagi dikendalikan oleh Bojan Hodak, skuad warga kota itu adalah pasukan yang berbeza ketika ini berbanding lebih tiga tahun yang lalu.

“Kita (Penang FC) bermain terlalu ‘lembut’. Dua gol pertama yang dijaringkan oleh KL City itu pula terlalu awal.

“Tapi, saya tetap memuji pemain-pemain saya kerana masih cuba untuk bangkit melawan walaupun ketinggalan,” katanya yang kini akan memfokuskan kepada usaha memulihkan kekuatan mental pemain sebelum menghadapi saingan Liga Super pula menentang Perak selepas ini.

Ahad lalu, Skuad Harimau Kumbang juga gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila kecundang 1-2 kepada Sabah dalam saingan Liga Super. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI