fbpx

Penat bersih rumah, penduduk mahu banjir Batu 3 diatasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rina (kanan) mendengar masalah yang diluahkan oleh salah seorang penduduk ketika berkempen sempena PRN di Kampung Kuantan, Klang semalam.

KLANG – Lebih 500 penduduk Kampung Kuantan di sini, mahu wakil rakyat yang dipilih kelak mampu menyelesaikan masalah banjir yang membelenggu hidup mereka sejak dua dekad lalu sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Mereka mengakui sudah lelah dan trauma untuk membersihkan rumah selain terpaksa menanggung kerugian akibat masalah infrastruktur terutama perparitan yang lemah di lokaliti tersebut.

Seorang penduduk, Aida Idris, 57, berkata, dia tidak pasti punca utama tetapi salah satunya ialah disebabkan pertambahan rumah yang tidak seiring dengan pembinaan dan pembesaran longkang.

Katanya, banjir berlaku setiap kali hujan lebat melebihi dua jam.

“Setahun dua kali banjir akan berlaku di sini. Keadaan lebih parah apabila paras air naik lebih tinggi sekiranya kunci air berdekatan Sungai Klang bermasalah.

“Air akan naik paras buku lali kalau berlakunya banjir kilat. Paras air paling tinggi naik ketika tragedi banjir besar Selangor pada tahun 2020 sehingga saya rugi RM10,000,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Terdahulu, penduduk kampung dikunjungi calon DUN Batu Tiga, Datuk Seri Rina Harun yang berkempen untuk Perikatan Nasional sempena PRN.

Nur Syuhadah Ahmad Fauzi, 45, pula berkata, masalah banjir di situ membuatkannya tidak berani membeli banyak perabot.

“Dokumen penting seperti sijil kahwin, surat beranak, laptop dan lain-lain lagi saya letak di tingkat atas.

“Namun, kasihan kepada penduduk yang rumahnya hanya satu tingkat sahaja. Harap bakal ADUN dapat tolong selesaikan masalah ini,” katanya yang tinggal di situ sejak 2010.

Sementara itu, Rina berjanji akan membawa perkara tersebut di DUN Selangor sekiranya terpi­lih bagi memastikan kesejahte­raan penduduk.

“Sudah tentu saya simpati atas nasib penduduk Kampung Kuantan yang terus dilanda musibah ekoran permasalahan yang telah berlarutan sejak 20 tahun ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI