fbpx

NATO pantau ancaman Wagner di sempadan Belarus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan tempur infantri tiba di pantai selepas keluar dari kapal perang Poland, ORP Torun (825) semasa latihan ketenteraan dengan askar NATO berhampiran Krynica Morska, 17 April lalu. - AFP

WARSAW, POLAND – Tiga negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) meningkatkan pertahanan sepanjang sempadan dengan Belarus di tengah-tengah kebimbangan mengenai peningkatan aktiviti ketenteraan kumpulan askar upahan Russia, Wagner di negara itu, lapor portal berita MailOnline.

Poland, Lithuania dan Latvia, yang juga merupakan ahli Kesatuan Eropah (EU) sebelum ini menuduh Presiden Belarus, Alexander Lukashenko yang merupakan sekutu kuat Russia, sebagai membuka laluan untuk pendatang asing masuk secara haram dalam tindakan perang hibrid yang bertujuan mewujudkan ketidakstabilan ke atas Barat.

Kini, kebimbangan kian memuncak sejak askar Wagner dilaporkan tiba di Belarus selepas menjalankan pemberontakan sementara ke atas Presiden Russia, Vladimir Putin pada Jun lalu.

Di bawah perjanjian yang ditaja oleh Lukashenko, pemimpin Wagner, Yevgeny Prigozhin telah bersetuju berundur ke Belarus, dengan sekurang-kurangnya 5,000 askarnya diminta melatih tentera Minsk di beberapa kem tentera.

Sebagai tindak balas, Poland, Lithuania dan Latvia menyatakan bahawa ia mengerah lebih ramai askar dan peralatan ketenteraan di sepanjang sempadan Belarus bagi bersiap sedia menghadapi sebarang ancaman.

Perdana Menteri Poland, Mateusz Morawiecki pada hujung minggu lalu memaklumkan askar Wagner bergerak menghampiri sempadannya yang dikenali sebagai Suwalki Gap.

Suwalki Gap merupakan jalur tanah sepanjang 96.5 kilometer yang amat strategik dan penting buat NATO serta EU, termasuk Russia.

“Kini, situasi semakin berbahaya. Ini jelas merupakan langkah seterusnya (Belarus) untuk melancarkan serangan hibrid terhadap wilayah Poland,” kata Morawiecki.

Selasa lalu, kebimbangan Warsaw semakin memuncak apabila dua helikopter tentera Belarus memasuki ruang udara Poland pada altitud rendah ketika menjalankan latihan.

Kementerian Pertahanannya melaporkan insiden itu kepada NATO, yang kemudian memaklumkan perikatan tentera tersebut sedang memantau situasi berkenaan.

“Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Poland mengenai perkara ini dan akan terus melakukan apa yang perlu bagi memastikan keselamatan semua wilayah NATO,” kata seorang pegawai yang identitinya enggan didedahkan.

Sementara itu, Ketua Pengawal Sempadan Negara Latvia, Guntis Pujats berkata kelmarin bahawa risiko keselamatan di sepanjang sempadan Belarus sememangnya tinggi sejak Minsk menggunakan migran sebagai ‘alat’ melancarkan perang hibrid, namun risiko semakin meningkat dengan ketibaan Wagner.

“Pasukan Pengawal Sempadan Negara kami telah memulakan latihan skuad khas sebagai tindak balas,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Lithuania, Gitanas Nauseda awal minggu ini berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kumpulan Wagner menggunakan kehadiran mereka di sempadan Lithuania untuk melakukan pelbagai provokasi.

“Bagi saya, ancaman itu serius,” ujarnya.

Lithuania sebelum ini mengisytiharkan Wagner sebagai pertubuhan pengganas manakala Menteri Pertahanan Poland, Mariusz Błaszczak pada 18 Julai lalu meningkatkan pertahanan sempadannya dengan menempatkan dua lagi briged tentera ekoran kehadiran Wagner.

Sebarang serangan ke atas wilayah NATO akan menjadi alasan kepada pakatan tentera itu untuk turut terlibat dalam konflik bersenjata. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI