fbpx

Mahkamah: Dua bekas penuntut IPT menangis terlepas tali gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Asyraff (dua kiri) dan Muhammad Aliff (tiga kiri) bersama Anwar (tiga kanan) serta Ahmad Ishrakh (dua kiri) selepas prosiding tersebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

SHAH ALAM – Dua bekas penuntut institut pengajian tinggi (IPT) menangis apabila terlepas tali gantung selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas tuduhan mengedar ganja, tiga tahun lalu.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor memutuskan demikian selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap Mohammad Asyraff Hashim, 29, dan Muhammad Aliff Afiqqi Razali, 24.

Mohammad Asyraff adalah merupakan bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) dan Muhammad Aliff pula adalah bekas pelajar Politeknik Sabak Bernam.

Nurulhuda Nur’aini dalam penghakimannya menjelaskan keputusan itu dibuat selepas terdapat kemungkinan bahan yang dijumpai dalam tin dan bilik asrama UIS (sebelum ini Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIS)) adalah tembakau dan tidak dapat dipatahkan pihak pendakwaan.

“Cuma anda bertuah dalam laporan polis ada memberikan tanggapan bahawa barangan tersebut adalah tembakau walaupun ahli kimia katakan dadah (ganja).

“Atas sebab bukti keterangan sahaja pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah. Jadi alasan itu, mahkamah melepaskan dan membebaskan tertuduh ,” katanya.

Bagaimanapun, Nurulhuda Nur’aini mengingatkan kepada kedua-dua mereka jangan sesekali terlibat dalam dadah.

“Ini adalah satu amaran dan ingatan meskipun kesalahan melibatkan najis dadah telah digubal bawah akta baharu dan tidak melibatkan hukuman mati mandatori. Namun tetapi adalah kesalahan serius,” katanya.

Mohammad Asyraff dan Muhammad Aliff didakwa dengan niat bersama mengedar 290.95 gram (g) ganja di dalam bilik sebuah asrama KUIS antara 11 malam hingga 12 tengah malam pada 10 Februari 2020.

Kesalahan itu dilakukan mengikut seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B (2) Akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.

Kedua-dua mereka juga didakwa tiga pertuduhan memiliki 13.98g dadah sama di lokasi yang sama.

Justeru, mereka didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 6 akta yang sama dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hasim manakala Peguam Anwar Ab. Raof dan Ahmad Ishrakh Saad mewakili kedua-dua tertuduh.

Seramai 13 saksi pendakwaan dikemukakan manakala kedua-dua tertuduh memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi bagi pembelaan sepanjang prosiding bermula 5 September tahun lalu hingga 30 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI