PORT DICKSON – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil inisiatif merentas sempadan kementerian dalam usaha menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) telah memberikan komitmen yang tinggi bersama kementeriannya dalam mengangkat kembali Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menurutnya, usaha menarik minat pelajar bukan sahaja membabitkan peluang, namun pemilihan subjek dan minat mengikut keperluan semasa perlu diteliti secara progresif.
“Sebenarnya kita telah menetapkan hala tuju STEM untuk KPM dan kita telah membuat intervensi, inisiatif khususnya bersama dengan Mosti. Insya-Allah dari semasa ke semasa, hala tuju STEM kita akan perkukuhkan lagi.
“Kita perlukan lebih banyak penglibatan daripada semua komuniti, input-input dan juga komitmen daripada ibu bapa khususnya untuk mendorong anak-anak meminati STEM,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Pelancaran Gotong-Royong Madani Peringkat Negeri Sembilan serta Sambutan Jubli Intan Hari Ulang Tahun Bridget Pertama Infantri Malaysia, di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rusa, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditujukan khas buat KPM dan Mosti bagi mencari pendekatan baharu menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik.
Sementara itu, sempena program yang turut dihadiri oleh Panglima Bridget Pertama Infantri Malaysia, Brig Jen Mohamad Noorlizam Shamsuddin itu, hampir 200 tentera bergotong-royong membersihkan serta mencantikkan SK Sri Rusa. – KOSMO! ONLINE