PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak akan memandang mudah halangan pertama dalam usaha mempertahankan trofi Piala Malaysia apabila dijadualkan bertemu Kelantan FC pada aksi pusingan 16 terbaik malam ini.
Ketua jurulatih JDT, Esteban Solari mengakui aksi menentang The Red Warriors (TRW) di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu nanti boleh dijadikan sebagai medan buat pemain ‘simpanan’ untuk mendapatkan minit permainan.
Kata Solari, saingan Piala Malaysia juga cukup penting dan status selaku juara bertahan menyaksikan sasaran pasukan dalam memastikan usaha untuk mengekalkan trofi di bumi Johor musim ini dapat direalisasikan.
“Kita akan fokus pada satu lagi kejohanan pada Piala Malaysia yang boleh dianggap cukup penting di negara ini. Sudah tentu kita ada sasaran untuk mengekalkan trofi yang dimenangi tahun lalu.
“Mengenai aksi bertemu Kelantan, saya akui kita telah menggunakan ramai khidmat pemain sama pada beberapa perlawanan lepas dan mungkin ini adalah peluang buat saya untuk merombak kesebelasan utama.
“Namun, apa yang boleh saya janjikan adalah kita tetap akan turunkan pemain terbaik dan saya percaya semua tonggak kami bersedia untuk memberikan 100 peratus di atas padang.
“Mentaliti pasukan adalah jelas, setiap kali kita harungi perlawanan ia adalah persiapan untuk bersaing pada perlawanan berikutnya,” kata pengendali import dari Argentina itu.
Pada saingan Piala Malaysia musim lepas, skuad Harimau Selatan berjaya meraih kejuaraan selepas menewaskan Selangor FC 2-1 di pentas final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sekali gus melengkapkan gelaran trebel.
JDT yang masih segar dengan kejayaan menjulang trofi Piala FA bulan lalu berpeluang untuk merekodkan gelaran ‘double trebel’ pada musim ini andai menjuarai trofi Piala Malaysia dan Liga Super nanti.