LUMUT – Polis masih memburu dua lelaki yang disyaki menembak seorang lelaki di depan sebuah rumah kosong di Jalan Segari – Pantai Remis, dekat sini petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan berhubung kejadian tersebut yang berlaku ketika mereka sedang melakukan urus niaga sarang burung walid.
“Mangsa, seorang lelaki berusia 26 tahun yang patah pergelangan tangan kiri akibat tembakan tersebut masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.
“Ujian air kencing mangsa adalah negatif dadah dan dia tiada sebarang rekod jenayah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, polis masih menyiasat motif sebenar kejadian tersebut.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki berusia 26 tahun patah pergelangan tangan kiri selepas dipercayai ditembak dua lelaki tidak dikenali di depan sebuah rumah kosong di Jalan Segari – Pantai Remis, dekat sini.
Hasil pemeriksaan pasukan forensik polis di tempat kejadian berjaya menemui dua butir kelongsong peluru.
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai percubaan membunuh dan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE