fbpx

Dua beradik dicampak bapa saudara kini stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Dua beradik perempuan berusia tiga tahun dan 40 hari yang dicampak serta dihempas bapa saudara mereka di sebuah blok di Flat Nusantara, Sungai Pinang di sini, Selasa lalu kini dilaporkan stabil di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pasangan kanak-kanak perempuan itu kini ditempatkan di wad biasa hospital berkenaan.

“Hanya bayi perempuan akan berada di wad dalam tempoh 24 jam sahaja lagi dan esok dia sudah boleh dibawa pulang.

“Kakaknya pula, hasil imbasan otak yang dijalankan mendapati tidak ada pendarahan otak berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, hari ini.

Semalam, polis menahan reman pemuda yang bertindak mencampakkan dua anak saudaranya ketika suspek menerima rawatan di hospital sama

Dalam kejadian itu kira-kira pukul 3.30 petang itu, kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami kecederaan patah kaki kiri dan cedera pada mulut akibat dicampak dari tingkat satu manakala adiknya turut dihempas ke lantai rumah.

Menurut Soffian, rawatan lanjut yang dijalankan ke atas kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun itu mengalami kecederaan retak pada tulang paha kiri dan cedera bibir manakala adiknya mengalami bengkak kedua-dua mata.

Dalam pada itu, Soffian memberitahu, suspek juga telah menjalani pembedahan pada tangan selepas dia mencederakan diri sendiri.

“Suspek masih lagi meracau di hospital dan dia sebut bahawa dia telah mati dua hari lalu, dia berada dalam kawalan pihak polis di HPP.

“Kita tidak boleh sahkan yang dia ada masalah mental kerana hanya pihak hospital yang boleh sahkan mengenai hal itu.

“Ujian darah suspek juga telah diambil bagi melihat sama ada suspek di bawah pengaruh dadah atau tidak ketika kejadian,” katanya.

Tambahnya, menerusi siasatan awal juga, ahli keluarga suspek memaklumkan kepada polis bahawa suspek telah berkelakuan aneh sejak dua bulan lalu tanpa sebab. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI