GUA MUSANG – Seorang pekerja kantin tidak menyangka wang RM100 diberikan suaminya untuk dibuat belanja menjadi kenangan terakhir sebelum maut dipijak gajah dalam kejadian di kawasan ladang sawit di Tanah Tinggi Lojing di sini, kelmarin.
Azizah Ishak, 53, berkata, arwah suaminya, Mohd. Marzuki Mohd. Nawi, 42, tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum keluar pergi memancing ikan bersama rakannya, Mohamad Reezal Norzlan, 32.
Katanya, sehari sebelum kejadian, arwah sempat bergurau menghulurkan duit RM100 yang berlipat untuk digunakan sebagai belanja dan kenangan.
“Selepas pulang dari kerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah ladang durian musang king, dia memaklumkan hendak pergi memancing.
“Tiada perubahan ketara pada sikap arwah suami. Sehari sebelum kejadian, arwah sempat bergurau menghulurkan wang RM100 yang berlipat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh di sini semalam.
Menurut Azizah, selepas kira-kira setengah jam keluar rumah, dia mendapat berita bahawa suaminya maut dipijak gajah oleh Mohamad Reezal yang pulang dalam keadaan tergesa-gesa untuk untuk mengambil trak pikap.
“Kami pergi bersama-sama untuk membawa arwah ke Klinik Kesihatan Pos Brooke. Ketika perjalanan ke klinik, arwah mengadu sangat sakit dan akan mati. Saya hanya mampu menenangkan arwah dan mengajarnya untuk mengucap,” katanya.
Berita berkaitan: Pengawal keselamatan maut dipijak gajah
Azizah memberitahu, dia reda selepas doktor mengesahkan suaminya telah meninggal dunia akibat kecederaan dalaman selepas dipijak gajah.
Sementara itu, saksi kejadian, Mohamad Reezal berkata, dia tidak akan melupakan kejadian yang berlaku seumur hidupnya dan ini bukan kali pertama mereka berdua pergi memancing di kawasan ladang sawit terbabit.
“Kami berdua yang menunggang motosikal sungguh terkejut apabila tiba-tiba dua ekor gajah muncul. Kami cuba untuk berpatah balik, tetapi motosikal terbalik dan kami terjatuh.
“Saya sempat melarikan diri dan dengar dengan jelas bunyi gajah. Ini bukan kali pertama kami melihat haiwan liar berkeliaran di dalam kawasan ladang, namun tidak sangka kejadian ini akan berlaku sehingga rakan sendiri hilang nyawa,” katanya.