BEKAS pemain skuad Kelantan FC, Rozaimi Rahamat melontarkan persoalan mengenai kriteria diambil kira oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang membuat keputusan menarik semula sekatan perpindahan pemain untuk pasukan tersebut.
Rozaimi mendakwa kelab itu masih lagi berhutang dengannya membabitkan potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tidak sepatutnya diberikan kebenaran untuk mendapatkan pemain baharu ekoran masih menanggung hutang.
“Saya sendiri buat semakan masih tidak dapat, kali terakhir saya semak pada malam tadi (kelmarin) dan masih lagi tidak masuk. Saya akan tuntut (duit KWSP) sebab duit saya, ia dipotong daripada duit gaji saya,” katanya pada sidang media bersama peguam, semalam.
Sebelum ini, The Red Warriors mengesahkan berjaya mendapatkan khidmat empat pemain import iaitu penjaga gol, Aliakbar Ahmadi, Dennis Buschening, Ahmed Magdy dan Alie Sesay.
Sementara itu, peguamnya, Saipul Baharim Abd Rahman menjelaskan, pihaknya sudah pun menghantar notis kepada pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berhubung dakwaan kenyataan fitnah terhadap Rozaimi.
“Notis ini sudah diserahkan dan beri masa 14 hari untuk maklum balas, namun jika tiada apa-apa maklum balas, kami diarahkan untuk lakukan tindakan selanjutnya. Tuntutan anak guam kami tidak ada kena mengenai dengan kontrak, penamatan kontrak, tetapi ia menjurus kenyataan yang dikeluarkan Norizam, lebih kepada kenyataan fitnah.
“Sekarang bergantung kepadanya dan kami tidak tutup ruang untuk bincang bagi mencari penyelesaian. Sekarang kita tengok dulu reaksi daripada Norizam,” katanya. – KOSMO! ONLINE