TAMPIN – Seorang bekas kerani didenda sebanyak RM5,000 di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas kesalahan memperdaya seorang warga emas perempuan bagi mencarum di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hampir 10 tahun lalu.
Tertuduh, Tan Fwi See, 48, yang kini bekerja sebagai tukang cuci rumah membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret, Kartini Kasran.
Majistret turut menetapkan 12 bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah memperdayakan seorang wanita warga emas untuk mempercayai bahawa tertuduh akan mencarum wang sebanyak RM20,000 ke dalam akaun KWSP milik wanita itu yang mana tertuduh mengetahui ia tidak benar.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di taman perumahan Tampin pada bulan September 2013.
Mengikut fakta kes, pada September 2013, tertuduh telah mencadangkan kepada warga emas itu untuk mencarum wang simpan di dalam KWSP untuk warga emas kerana akan memberikan pulangan faedah yang tinggi selain dari memberi perlindungan insurans ke atas warga emas berkenaan.
Warga emas berkenaan bersetuju dan menyerahkan wang secara tunai di rumah tertuduh.
Pada 12 Jun 2020, warga emas itu telah ke Pejabat KWSP di Alor Gajah, Melaka dan memeriksa akaun serta dimaklumkan Pegawai KWSP pada 11 September 2013, wang yang dimasukkan adalah sebanyak RM5,000, manakala pada 12 September 2013 adalah sebanyak RM2,000.
Warga emas berkenaan telah diperdaya dalam urusan caruman KWSP dan mengalami kerugian RM13,000.-KOSMO! ONLINE