KLANG – Perbuatan mencuri 250 bendera dan 30 kain rentang serta merosakkan poster calon Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah kaedah kempen politik tidak bertamadun.
Calon Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis dari Pakatan Harapan (PH), Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, ini menunjukkan ketidakpedulian dalam meraikan semangat demokrasi dan tatasusila dalam berkempen.
“Sangat kesal kerana kita sekarang berada pada zaman moden dengan pelbagai kempen boleh dibuat dengan cara lebih bertamadun.
“Kita ada saluran kempen seperti media sosial dan media perdana yang boleh digunakan tidak mengira masa. Mengapa memilih untuk merosakkan dan melarikan bendera parti dan pemimpin, “katanya ketika ditemui di Ambang Botanik di sini hari ini.
Beliau menjelaskan laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan oleh ejen parti yang diberi tanggungjawab memasang poster di kawasan Bandar Botanik dan Ambang Botanik tersebut.
Ujarnya, hasil pemantauan mendapati pelakuan itu telah dikesan sejak kempen bermula Isnin lalu melibatkan beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis. -KOSMO!ONLINE