BUKIT JALIL – Tiada lagi penambahan atlet ke Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas hanya seramai 294 atlet akan mewakili kontinjen Malaysia ke temasya edisi kali ke-19 tersebut yang bakal membuka tirai secara rasmi pada 24 September ini.
Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt berkata, hanya berlaku satu lagi penambahan akhir menerusi atlet dari sukan karate selepas atlet berusia 20 tahun, Zakiah Adnan meraih pingat gangsa pada Kejohanan Karate Asia di Melaka pada bulan lalu.
“Ketika ini hanya seramai 294 akan mewakili kontinjen negara ke Hangzhou nanti dan hanya satu penambahan dari sukan karate iaitu Zakiah. Atlet berusia 20 tahun itu akan pergi ke Hangzhou dibawah kategori A (ditanggung sepenuhnya).
“Jadi, jumlah keseluruhan kontinjen Malaysia adalah 402 terdiri daripada atlet dan pegawai,” katanya ketika ditemui selepas melakukan sesi lawatan pertama selaku CDM ke kem latihan skuasy dan wushu di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Dalam pada itu, Kim Fatt yang juga merupakan presiden wushu turut menegaskan bahawa seramai tujuh atletnya akan berkampung di Beijing selama sebulan sebelum berlepas ke Hangzhou.
Katanya, persiapan rapi itu perlu dibuat memandangkan mereka meletakkan impian untuk membawa pulang sekurang-kurang sebutir pingat tanpa sebarang warna biarpun akui bakal berdepan cabaran hebat pasukan tuan rumah dari China, Macau, Hong Kong dan juga Taiwan.
“Kita akui saingan di China nanti pasti mencabar, jadi kita mengambil inisiatif untuk menghantar atlet wushu ke China agar mental dan fizikal atlet kita lebih baik tanpa sebarang gangguan. Jadi, kita harap atlet wushu mampu tampil baik pada sesi latihan sebulan di Beijing itu sebelum bersaing pada temasya sebenar nanti di Hangzhou,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE