BUKIT JALIL – Cabaran skuad skuasy negara untuk mempertahankan pingat emas dalam acara berpasukan lelaki pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 pada September ini tampak sukar terutama bakal berdepan cabaran hebat dari India dan Hong Kong.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Major (b) S. Maniam berkata, biarpun Malaysia berdepan cabaran sengit namun skuad negara tetap berpeluang untuk membawa sekurang-kurangnya dua pingat emas.
Maniam berkata, skuad negara perlu berhati-hati memandangkan saingan nyata terbuka luas buat semua negara di Hangzhou kerana ia disebabkan jurang prestasi antara Malaysia dan dua pencabar utama yang lain seperti India dan Hong Kong begitu hebat.
“Jujurnya, semua acara kita ada peluang tetapi kita boleh pulang dengan paling tidak dua emas ataupun tidak ada langsung. Ini kerana, persaingannya terlalu rapat.
“Apapun, kita harap pemain akan dapat paling tidak dua emas daripada lima acara disertai. Persaingan di Asia untuk semua lima acara terlalu rapat dan kita harap boleh dapat paling tidak dua emas nanti.
“Untuk acara berpasukan lelaki, India adalah pesaing yang kuat, Hong Kong dan juga Malaysia. Ketiga-tiga ini boleh membuat kejutan. Di Sukan Asia yang lalu, Hong Kong diletakkan sebagai pilihan utama untuk menang tetapi kita menewaskan mereka. Saya harap, kita dapat melakukannya sekali lagi.
“Untuk berpasukan wanita, tiga negara Hong Kong, India dan Malaysia. Hong Kong dan Malaysia akan bersaing untuk pingat. Manakala untuk acara perseorangan wanita, S.Sivasangari dan Aira Azman akan bermain. Sivasangari yakin dengan prestasinya dan sudah berlatih gigih untuk temasya ini.
“Dia mempunyai harapan untuk berada di pentas podium dan ini juga harapan kami. Ada juga persaingan sengit untuk acara wanita, tetapi saya boleh letakkan Sivasangari di kelompok tiga terbaik pada masa ini.
“Untuk individu lelaki, Ng Eain Yow adalah pemain yang berada di ranking tinggi tetapi ada juga yang lain seperti dari Qatar, Kuwait, Pakistan dan Hong Kong. Sekali lagi, persaingan itu terbuka,” kata Maniam ketika ditemui sewaktu lawatan Ketua Kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Pada edisi di Indonesia 2018, skuasy membawa pulang dua emas, satu perak dan dua gangsa untuk berada di tangga kedua keseluruhan pungutan pingat manakala Hong Kong muncul juara dengan dua emas dan dua perak.
India pula berada di kedudukan ketiga selepas meraih satu perak dan empat gangsa manakala Jepun dan Pakistan berkongsi kedudukan keempat apabila masing-masing membawa pulang satu gangsa. -KOSMO! ONLINE