PETALING JAYA – Pasukan Selangor FC memulakan pemburuan ‘Misi ke-34’ dengan langkah kanan selepas menewaskan Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC) 4-1 pada aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium MB Petaling Jaya itu, skuad Gergasi Merah kendalian Tan Cheng Hoe membariskan kesebelasan terbaik terdiri daripada Ayron del Valle, Richmond Boakye dan Mukhairi Ajmal.
Bagaimanapun, pasukan The Cops terlebih dahulu memecah kebuntuan hasil jaringan penyerang bawah 23 (B-23) kebangsaan, Hadi Fayyadh yang bijak melakukan rembatan pada minit ke-25.
Bersambung pada babak kedua, Selangor menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan yang berjaya direalisasikan menerusi percubaan mudah yang dilakukan oleh Ayron pada minit ke-56.
Jaringan tersebut menyemarakkan lagi semangat pasukan tuan rumah untuk menambah gol apabila Ayron sekali lagi menjadi duri dalam daging pasukan PDRM FC apabila meledak gol kedua berselang lapan minit kemudian.
Selangor semakin garang dan kini giliran pemain pertahanan, Harith Haiqal untuk meledak gol ketiga hasil tandukan pada minit ke-73.
Finalis Piala Malaysia musim lepas seperti meletakkan kaki ke peringkat suku akhir apabila giliran Yohandry Orozco untuk meledak gol keempat pada penghujung perlawanan dengan keputusan 4-1 kekal sehingga wisel penamat.
Selangor yang kali terakhir menang trofi Piala Malaysia buat kali ke-33 pada edisi 2015 akan menentang PDRM FC pada aksi kedua pusingan 16 terbaik, 19 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE