PEKAN – Sambutan orang ramai terhadap pakej umrah ditawarkan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) pada tahun ini amat memberangsangkan apabila hampir 24,000 jemaah mendaftar di syarikat berkenaan.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, dengan sambutan memberangsangkan itu, beliau yakin sasaran 70,000 jemaah umrah bagi syarikat itu mampu dicapai bagi tahun 1445 Hijrah.
“Alhamdulillah, sekarang kita sudah cecah hampir 24,000 jemaah dan tahun ini kita sasarkan sebanyak 70,000 jemaah.
“Jadi ini (Program Asnaf Jelajah Kasih 4.0) adalah tanda kami bersyukur dengan apa yang kami peroleh, Allah permudahkan segalanya untuk kami dan kami permudahkan untuk asnaf,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Program Asnaf Jelajah Kasih 4.0 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad di sini kelmarin.
Pada majlis itu, lebih 80 asnaf dari seluruh negeri menerima tajaan mengerjakan umrah oleh Andalusia dengan kerjasama kerajaan negeri.
Menurut Ida Riswana, pada masa ini pihak Andalusia menawarkan harga berpatutan dengan pakej umrah dengan harga standard bermula serendah RM6,990.
Tambahnya, pihak Andalusia memberi jaminan bahawa setiap pakej yang ditawarkan adalah terjamin.
Dalam pada itu, mengulas mengenai sambutan orang ramai terhadap pakej ditawarkan Andalusia beliau berkata,
reputasi yang ditunjukkan syarikat itu termasuk kumpulan petugas yang lengkap membuatkan ia memberi keyakinan kepada orang ramai untuk berurusan dengan syarikat itu.
“Mungkin melalui pengalaman, melalui apa yang mereka peroleh daripada orang yang pernah pergi sebelum ini dan Andalusia mempunyai satu kumpulan petugas yang lengkap,” katanya.