PETALING JAYA – Tular tindakan seorang penghantar makanan menunggang motosikal sambil bersila dan bermain telefon bimbit sebelum terlibat kemalangan.
Melihat kepada video tular yang dimuat naik di beberapa kumpulan Facebook dan Twitter sejak kelmarin itu, difahamkan kejadian tersebut berlaku di ibu negara.
Aksi berbahaya penghantar makanan itu sempat dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Tindakannya itu membawa padah selepas dia merempuh bahagian belakang sebuah kereta sekali gus menyebabkannya jatuh ke lorong kanan jalan.
Lelaki itu juga hampir dilanggar kenderaan lain yang melalui laluan tersebut.
Dalam pada itu, rata-rata orang ramai mengecam tindakan lelaki tersebut dan menyifatkan perbuatannya boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Kalau pemilik kenderaan buat laporan, kau kena saman,” kata Munir Saleh.
“Apa yang dia fikir duduk bersila seperti itu. Kalau kena pada kereta aku memang aku belasah bagi lagi sakit budak ini,” kata pengguna lain.
“Nak tunjuk lagak apa tunggang motosikal sambil bersila. Makin hebat sambil main telefon, memang mata kau dekat dahi, itu baru ‘cium’ kereta, kalau kau langgar manusia? Lagi teruk nasib kau,” tegur Munir. – KOSMO! ONLINE