fbpx

Peningkatan kes gangguan seksual kanak-kanak membimbangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy bergambar sambil memegang playkad "Antigangguan Seksual" pada Majlis Jerayawara KASIH KPWKM @Advokasi Antigangguan Seksual di MAEPS Serdang di sini, hari ini. Foto FAIZ ALIF ZUBIR

SERDANG – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak yang kian meningkat tahun demi tahun.

Menurut statistik yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), hampir 35 kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak telah dicatatkan pada tahun 2022.

Bagi negeri Selangor pula, jumlah kes gangguan seksual yang melibatkan kanak-kanak juga adalah antara yang tertinggi iaitu sebanyak 11 kes.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau percaya masih banyak lagi kes yang tidak dilaporkan kerana kanak-kanak tersebut sendiri memilih untuk berdiam diri atau dirahsiakan oleh ahli keluarga kerana tidak mahu menanggung malu.

“Berbeza dengan orang dewasa, kanak-kanak mungkin rasa takut atau malu untuk bercerita tentang hal-hal ini kepada ahli keluarga atau orang dewasa yang mereka percaya. Kebiasaannya, kes gangguan seksual yang dilakukan terhadap kanak-kanak dilakukan oleh orang yang terdekat dan hampir dengan kanak-kanak itu sendiri.

“Sebab itulah, kita kena pastikan institusi kekeluargaan yang dibina itu utuh supaya anak-anak tidak takut atau malu untuk memberitahu ibu bapa tentang sebarang bentuk gangguan yang dialami,” jelasnya ketika ditemui di Program Jerayawara Kasih KPWKM @Advokasi Antigangguan Seksual di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) Mardi, Serdang.

Dalam pada itu, Nancy menjelaskan ada banyak faktor yang boleh menyebabkan peningkatan kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

“Mangsa mungkin datang daripada keluarga yang mempunyai masalah ekonomi. Ibu bapanya pula mungkin tertekan secara mental disebabkan kos sara hidup yang tinggi dan sebagainya.

“Sekiranya kita hendak membanteras masalah ini, semua pihak perlu menggembleng tenaga dan saling menjaga antara satu sama lain, lebih-lebih lagi dari segi keselamatan.

“Jangan takut untuk melaporkan sebarang kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak kerana apa yang berlaku kepada orang lain, mungkin berlaku kepada kita suatu hari nanti,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI