TAPAH – Seorang pekerja sebuah syarikat penghantaran parah selepas lori dipandunya terjunam dari jambatan setinggi 15 meter di Kilometer 336, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, di sini hari ini.
Kejadian sekitar pukul 7 pagi itu turut mengakibatkan sebuah lori kontena muatan barangan runcit terjunam ke bawah jambatan.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, ketika kejadian, lori kontena yang dalam perjalanan ke Ipoh itu mengalami kerosakan mekanikal dan berhenti di lorong kecemasan.
Katanya, sebuah lori syarikat penghantaran yang menuju arah sama telah hilang kawalan lalu melanggar bahagian kanan hadapan lori kontena tersebut.
“Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terjunam ke bawah jambatan. Pemandu lori syarikat penghantaran berusia 42 tahun cedera parah dan dirawat di Hospital Tapah.
“Dalam kejadian itu, pemandu lori kontena berusia 38 tahun, tidak cedera manakala kertas siasatan kes dibuka mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, di sini hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor P. Prathiparaj di talian 0146178095. – KOSMO! ONLINE