fbpx

MoU KPDN, KPT buka peluang mahasiswa ceburi bidang keusahawanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fuziah bersama Mohammad Yusof menyaksikan acara menandatangi MoU di antara Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Zahari Ismail dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr. Azlinda Azman, hari ini. -Foto oleh MOHD. FARIZWAN HASBULLAH/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kira-kira 116,000 slot pendaftaran perniagaan secara percuma kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dengan peruntukan geran berjumlah RM7 juta ditawarkan melalui memorandum persefahaman (MoU) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

KPDN melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menerusi MoU itu juga bertujuan memberi peluang lebih ramai mahasiswa untuk menceburi bidang keusahawanan di samping mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan mendaftarkan perniagaan dalam usaha membangunkan persekitaran perniagaan yang kondusif.

Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh berkata, melalui MoU itu, SSM membuka peluang kepada pelajar IPT sepenuh masa untuk memanfaatkan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP).

“SPPP telah diperkenalkan pada 24 Disember 2020 untuk membantu golongan usahawan kumpulan B40, pasangan suami dan isteri B40 serta pelajar IPT sepenuh masa bagi mendaftarkan perniagaan secara percuma.

“Sejak diperkenalkan sehingga 31 Julai 2023, sebanyak 77,259 perniagaan telah didaftarkan di bawah SPPP. Daripada jumlah ini, sebanyak 33,299 perniagaan telah didaftarkan di bawah kategori pelajar IPT sepenuh masa,” katanya ketika sidang akhbar majlis menandatangani MoU itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri KPT, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, kolaborasi bersama pihak SSM itu adalah selari dengan aspirasi Lonjakan 1, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang antaranya telah menggariskan hasrat KPT untuk melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

“Antara fokus utama KPT bagi tahun ini dalam memupuk minda keusahawanan serta merangsang aktiviti berbentuk perniagaan dalam kalangan pelajar adalah melalui pelaksanaan program keusahawanan sosial, pengaktifan koperasi siswa serta galakan terhadap penglibatan pelajar dalam perniagaan kecil di kampus.

“Pemetraian ini akan lebih melengkapi usaha-usaha sedia ada yang telah dilaksanakan oleh KPT dalam mendorong pelajar untuk menjadi usahawan serta terlibat dalam perniagaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI