fbpx

Mangsa pemerdagangan manusia berkurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aktivis melepaskan burung merpati bagi menandakan Hari Menentang Pemerdagangan Manusia Sedunia di Jogjakarta, Indonesia pada 31 Julai 2022. - AFP

GENEVA, Switzerland – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan penurunan dalam jumlah mangsa kegiatan pemerdagangan manusia secara global buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun berikutan sekatan pergerakan semasa pandemik Covid-19.

Agensi berita Anadolu Agency melaporkan, angka rasmi itu dipaparkan dalam kertas kerja bertajuk Laporan Global Mengenai Pemerdagangan Orang 2022, yang dikeluarkan oleh Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

“Sekatan berkaitan pandemik terhadap pergerakan dan operasi perniagaan mungkin mengurangkan sementara beberapa bentuk pemerdagangan manusia termasuk untuk tujuan eksploitasi seksual dan pemerdagangan rentas sempadan,” demikian menurut laporan itu.

Pengurangan 11 peratus dalam jumlah mangsa pemerdagangan manusia sebahagian besarnya dilihat di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana di mana sistem keadilan, sosial dan kesihatan mereka bergelut untuk menangani wabak itu.

Kadar penurunan tertinggi telah direkodkan di rantau Asia Timur dan Pasifik dengan 59 peratus, diikuti Afrika Utara dan Asia Barat (40 peratus) serta Amerika Tengah dan Caribbean (36 peratus).

Tambah laporan itu, kebanyakan mangsa pemerdagangan manusia adalah wanita dengan kadar 42 peratus manakala 23 peratus daripadanya lelaki serta 35 peratus lagi kanak-kanak.

“Sebanyak 41 peratus mangsa menyelamatkan diri dan menghubungi pihak berkuasa atas inisiatif mereka sendiri kerana tindak balas antipemerdagangan manusia gagal,” tambah laporan tersebut.

Hanya 28 peratus mangsa diselamatkan oleh institusi penguatkuasaan undang-undang, 11 peratus oleh komuniti atau orang tidak dikenali, 10 peratus daripada tindakan awal keluarga, sembilan peratus oleh institusi lain atau masyarakat sivil dan satu peratus disebabkan tindakan-tindakan lain. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI