KUALA PILAH – Kehilangan seorang tukang pasang kabel sejak Jun lalu terjawab selepas mayatnya ditemui di kawasan cerun Kilometer 7, Jalan Juasseh-Bahau di sini, semalam.
Muhammad Aiman Danial Mohd Faizal, 19, bersama kenderaannya ditemukan orang awam yang kebetulan mahu mencari pucuk cemperai di lokasi kejadian pada pukul 7.25 malam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang menyatakan terdapat kemalangan jalan raya di Jalan Terusan melibatkan sebuah kereta.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan membabitkan kereta Perodua Kancil di bahu jalan bercerun. Turut dijumpai di lokasi kad pengenalan dan lesen memandu mangsa.
“Semakan ke atas kad pengenalan, mangsa dilaporkan hilang pada 6 Jun lalu. Ibu mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya yang menaiki Perodua Kancil berwarna kelabu seorang diri dan gagal dihubungi sehingga mayatnya dijumpai semalam,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Amran, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk dibedah siasat.
Sementara itu, orang awam, Azman Hassan, 44, berkata, dia hanya mengetahui perkara tersebut melalui kumpulan WhatsApp sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, lokasi tersebut merupakan kawasan kebun keluarganya dan kali terakhir dia ke situ untuk membersihkan kebun pada petang 22 Jun lalu.
“Waktu itu saya tidak hidu bau apa-apa dan mungkin juga kerana saya tidak berada berdekatan dengan lokasi penemuan itu. Jadi bila terima maklumat, saya terus ke sini. Ibu mangsa melihat kereta ini dan mengesahkan kenderaan tersebut dipandu anaknya,” jelasnya.
Terdahulu, tular di media sosial pada Jun lalu, seorang ibu membuat laporan polis menyatakan anaknya telah keluar rumah pada 6 Jun lalu untuk ke Senawang menaiki kereta Produa kancil secara berseorangan dan gagal dihubungi. – KOSMO! ONLINE